Bulan Ramadhan tiba lagi. Bulan di mana kita umat Islam berpuasa, namun menjelang waktu berbuka, kita bergembira dengan pelbagai juadah enak yang didapati dengan banyaknya di bazar-bazar Ramadhan.
Namun tahukah kita, menurut undang-undang tempatan contohnya Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (1991) Wilayah Persekutuan, MEWAJIBKAN setiap pengendali makanan : petugas di restoran, di KFC, di bazar-bazar Ramadhan, peniaga kantin dsb - untuk mendapatkan VAKSIN bagi penyakit Typhoid Fever (Demam Kepialu).
TYPHOID MARY
Ada sebuah kisah yang sering diulang cerita oleh Profesor kami ketika di kelas Epidemiologi pada tahun terakhir pengajian di sekolah perubatan. Kisah ini merupakan kisah benar, berlaku sekitar 100 tahun lalu, di Amerika Syarikat.
Ada seorang wanita ini, bernama Mary Malloon. Beliau berasal dari Ireland, namun berhijrah ke Amerika Syarikat dan bekerja sebagai seorang tukang masak di New York pada tahun 1900.
Apabila beliau mula bekerja sebagai tukang masak di tempat bernama Mamaroneck, dua minggu selepas itu, beberapa penduduk Mamaroneck disahkan dijangkiti Demam Kepialu (Typhoid Fever).
Mary kemudiannya berpindah ke Manhattan, New York, pada tahun 1901. Sama juga, tiba-tiba satu keluarga dijangkiti Demam Kepialu, dengan seorang daripadanya meninggal dunia. Mary kemudiannya bekerja dengan seorang peguam, seterusnya menyebabkan 7 daripada 8 orang ahli keluarga peguam itu, pun mengidap Demam Kepialu!
Pendek kata dari tahun 1900 sehingga 1906, Mary telah bertukar tempat bekerja belasan kali, dan setiap kali tempat bekerja yang beliau pergi, pasti akan ada kes demam kepialu dilaporkan! Bagaikan sumpahan!
Sehinggalah pada tahun 1906, salah seorang ahli keluarga bagi seorang "mangsa" Mary meminta pertolongan daripada George Soper, seorang pengkaji. Beliau mendakwa, bahawa Mary lah punca setiap mangsa ini dijangkiti Demam Kepialu.
Mary, tentulah marah dan terkejut, kerana beliau sihat sahaja! Tidak ada sebarang masalah kesihatan, tidak ada tanda-tanda Demam Kepialu pun! Tiba-tiba dituduh menyebarkan penyakit. Mary enggan bekerjasama dengan George Soper, enggan memberikan sampel air kencing dan najis untuk diperiksa.
Sehinggalah akhirnya pada tahun 1907-1908, apabila George Soper berjaya meyakinkan para doktor lain dan seterusnya membentangkan laporan mereka kepada pihak berkuasa, barulah Mary ditangkap secara paksa dan dikuarantinkan. Sampel najis diambil secara paksa didalam penjara, menunjukkan bahawa rupa-rupanya pundi hempedu Mary dipenuhi dengan kuman Typhoid.
Ketika disoalsiasat, Mary mengaku bahawa beliau jarang membasuh tangan kerana merasakan "tak perlu". Malah ketika dimaklumkan bahawa hasil kajian menunjukkan pundi hempedunya dipenuhi kuman typhoid pun, Mary tidak mahu percaya. Apabila disuruh memilih sama ada mahu pundi hempedunya dibuang ataupun Mary dikehendaki berhenti bekerja sebagai tukang masak, Mary tetap enggan untuk memilih. Dia percaya bahawa dirinya sihat, tidak mahu menerima rawatan dan percaya bahawa dirinya adalah "mangsa".
Tiga kali, Mary dikuarantin. Ketika dikuarantin kali pertama, Mary merayu dilepaskan dan berjanji akan berhenti bekerja sebagai tukang masak, tetapi apabila dilepaskan beliau kembali ke profesyen lamanya dan menyebabkan beberapa kematian dan kes demam kepialu lagi. Beliau ditangkap dan dikuarantin kembali.
Hinggalah akhirnya, beliau meninggal dunia ketika dalam kuarantin.
JANGAN JADI TYPHOID MARY
Mary sebenarnya, pembawa kuman Typhoid secara asymptomatic carrier. Bermaksud beliau membawa kuman penyakit tersebut, tetapi beliau sendiri tidak dijangkiti secara langsung. Beliau sihat, bekerja seperti biasa, dan menyebarkan kuman yang beliau bawa tanpa beliau sedari.
Kedegilan yang ada pada Typhoid Mary, mengingatkan saya kepada kedegilan yang ada kepada ramai ibu-ibu golongan muda yang menolak vaksin di zaman ini. Mereka percaya bahawa anak mereka sihat tanpa vaksin, mereka percaya bahawa vaksin memberikan mudarat kepada anak mereka, malah apabila kita ceritakan dengan betul kes-kes penyakit berjangkit yang boleh dicegah dengan vaksin, mereka mentertawakan kita dan mengatakan kita cuba menakut-nakutkan mereka.
Mereka tidak sedar, bahawa keputusan mereka untuk tidak memvaksin anak mereka, bukan hanya meletakkan diri anak mereka dalam bahaya, tetapi juga anak orang lain. Kita bercerita kepada mereka mengenai "herd immunity" - sebuah topik yang kami sendiri belajar di tahun kelima, iaitu setelah habis subjek physiology, histology, immunology, epidemiology dan public health - tetapi mereka selamba sahaja menolaknya. "Herd immunity adalah sebuah mitos", kata mereka, dengan memberi satu dua link internet merujuk kepada tulisan "doktor pakar".
Bila kita bentangkan data-data terbaru menunjukkan bahawa herd immunity ini benar, data-data terbaru menunjukkan keengganan vaksin punca terjadinya outbreak Measles 2011 di Amerika Syarikat, mereka mengatakan kita berbohong. Mereka kata, research itu semua sudah dimanipulasi, ada agenda tersendiri.
Benar-benar, typical Typhoid Mary. Masalahnya kita bukan berhadapan dengan seorang Mary, tetapi ramai dan bilangan mereka semakin meningkat. Dan yang menjadi bahaya bukan hanya mereka, tetapi anak-anak kita pun turut terdedah kepada bahaya yang berpunca dari mereka.
UNDANG-UNDANG
Undang-undang tempatan mewajibkan setiap petugas makanan, untuk mendapat pelalian (vaksin) Typhoid agar kes Typhoid Mary tidak lagi berulang di negara kita. Ianya sebuah langkah yang diambil bagi menjamin keselamatan makanan yang dijual kepada orang ramai daripada dijangkiti kuman Typhoid. Daripada langkah inilah, kita berasa selamat membeli makanan di luar, di bazar ramadhan, di kedai-kedai makan atau restoran. Setidak2nya selamat dari penyakit Demam Kepialu (Typhoid Fever) kerana kita tahu, petugasnya telah menerima vaksin mencegahnya.
Tetapi alangkah ironi dan hipokrit, pihak-pihak antivaksin ini nampaknya tidak kisah pula membeli juadah di bazar atau di kantin, oleh peniaga yang telah divaksin Typhoid.
Jika benar mereka menolak vaksin, maka carilah peniaga yang tidak divaksin. Ada mereka berani, mendedahkan diri mereka kepada risiko dijangkiti Typhoid Fever?
Undang-undang tidak boleh memaksa seseorang membuat keputusan mengenai kesihatan dirinya, KECUALI sesetengah penyakit seperti penyakit berjangkit. Kita mungkin tidak boleh mewajibkan semua kanak-kanak di Malaysia ini untuk divaksin, tetapi kita boleh mengetatkan syarat;
- setiap kanak-kanak yang diterima ke taska/pengasuh mestilah divaksin.
- setiap kanak-kanak yang memasuki darjah satu, perlu divaksin.
- setiap kanak-kanak yang hendak bersekolah di asrama, wajib menerima vaksin.
- setiap pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke luar negeri, perlu divaksin.
Semua ini ada rasionalnya, iaitu untuk mencegah penyakit berjangkit dari muncul semula dan merebak. Kita tidak kisah kalau pihak antivaksin ini dijangkiti sorang-sorang, sengsara sorang-sorang. Tetapi kita khuatir kerana apabila wabak seperti Measles muncul semula, ia bukan hanya akan mengenai anak-anak tidak divaksin ini, tetapi turut mengenai mereka yang menerima vaksin, dan mereka yang tidak divaksin atas sebab-sebab kesihatan.
Saya secara peribadi beranggapan, sudah tiba masanya pihak berwajib memandang serius mengenai gerakan antivaksin ini. Saya sendiri, pada tahap saya sebagai individu, akan engage secara langsung dengan masyarakat untuk menerangkan mengenai kepentingan vaksin, bukti-bukti keperluan vaksin, dan akan terus mendedahkan pembohongan dan mitos-mitos yang mereka pihak antivaksin gembar-gemburkan.
Meskipun saya gagal, saya akan tenang kerana Nabi Muhammad s.a.w bersabda,
"Sesiapa yang menjadi doktor padahal dia tidak ada ilmu dalam bidang perubatan sebelum itu, maka dia dipertanggungjawabkan (atas apa-apa risiko yang akan timbul)."
(Hadis hasan riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)
Pihak antivaksin akan bercerita macam-macam, menghasut anda dan para ibubapa untuk menolak vaksin. Hadis Nabi s.a.w ini memberi jaminan, bahawa setiap hasutan mereka itu, akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Jika ditakdirkan Allah, terjadinya outbreak penyakit berjangkit di negara kita, maka ketahuilah mereka ini akan dipertanggungjawabkan dan diadili di akhirat kelak dihadapan setiap mangsa outbreak ini. Tidak ada lagi yang boleh beralasan. That's for sure.
Salam Ramadhan.
Kredit to Mohd Syamirulah Rahim.
Suntikan Thypoid & Kisah Si Mary Mallon.
Saya merasakan pemberian suntikan thypoid kepada semua operator bakeri #sitipayunglebih kepada tanggunggjawab sosial dan obligasi kepada masyarakat.
Sejak telah lebih 6 tahun beroperasi tidak kurang 40 suntikan telah diberikan kepada pekerja kami. Ia sangat costly dengan harga rm70 kepada seorang operator yang pada akhirnya kita tak pasti mereka akan bekerja dengan kita 2 tahun, setahun ataupun mungkin 2 minggu saja. Namun saya menganggap tindakan memberikan suntikan dan medical check up kepada semua operator bakeri sebagai pematuhan dan niat kami membekalkan kek lapis Sarawak yang dijamin selamat.
Saya jamin anda tidak perlu risau membeli kek di #Siti Payung. Mahu tengok sijil pun ada.