Peserta yang dipilih telah melalui proses pemilihan yang ketat dimana hampir 300 peserta telah memohon dan hanya 84 sahaja di senarai pendek untuk temuduga. Peserta dipilih terdiri dari pelbagai bidang perniagaan untuk mewujudkan perbincangan dan idea yang meluas.
Antara yang menarik perhatian adalah semasa sesi bersama Puan Yu Yuan, salah seorang rakan kongsi Kumpulan Alibaba. Beliau menerangkan mengenai "Tao Alibaba" yang berjaya dibentuk sehingga menjadikan syarikat ini berjaya membentuk semangat kerja di kalangan 110,000 pekerja di kumpulan ini. Katanya, visi dan misi syarikat yang baik seharusnya dapat dirasai kewujudannya oleh semua. Bagi mewujudkan pasukan yang kuat, setiap pekerja juga mestilah dianggap sebagai rakan strategik yang mempunyai bakat serta kebolehan unik dan tersendiri.
Peserta juga dibawa untuk melawat sebuah perkampungan yang dinamakan Baicaowei. Di kampung ini majoriti penduduknya menjana Kekayaan dengan menjalankan perniagaan atas talian sama ada melalui Taobao, T-Mall dan pelbagai platform lain. Terdapat 68 syarikat disini yang menjalankan perniagaan atas talian dan menjana RMB400 juta setahun. Mereka memasarkan pelbagai produk baik yang di import mahupun produk perkampungan mereka sendiri iaitu sejenis kacang yang diberikan pelbagai perasa dan pembungkusan menarik. Usaha ini telah menarik anak muda untuk kekal berada dan bekerja di kampung, ia membuka peluang pekerjaan yang besar kepada masyarakat setempat.
Kami juga dibawa untuk mendengar sendiri pengalaman pelajar di Alibaba Business School di Hangzhou Normal University. Fakulti perniagaan ini telah dibiayai sebanyak RM100 juta oleh CEO Alibaba Tuan Jack Ma yang pernah belajar Bahasa Inggeris disini. Pelajar ini digalakkan untuk membuka perniagaan atas talian semasa mereka berada disini dan boleh menggunakan fasiliti untuk menjalankan perniagaan. Terdapat sesetengah pelajar ini yang telah membuat puluhan juta Yuan setahun dalam perniagaan mereka.
Kami juga turut dibawa melihat Pasaraya Moden Hema di sini. Konsep pasaraya ini adalah sangat unik kerana ia menyediakan penghantaran percuma dalam lingkungan 3 kilometer. Pelanggan boleh membeli secara atas talian dan pesanan akan dihantar. Bahan mentah seperti daging, ayam atau daging Babi juga boleh semak pembekal, jangka hayat dan juga asal dengan hanya mengimbas kod QR. Makanan seafood juga boleh di beli dan di masak secara segar disini.
Peserta juga telah dibahagikan kepada 5 kumpulan dan sepanjang program ini mereka telah diberikan beberapa tugas serta menyertai "Business Hackaton" yang perlu di bentangkan kepada pengurusan kanan Kumpulan Alibaba pada hari terakhir. Pada sesi ini semua input yang dipelajari hendaklah dipraktikkan dan diterangkan dengan lebih mendalam. Perbincangan dan perdebatan juga telah diadakan dalam setiap sesi pitching ini.
Antara tugas lain yang diberikan adalah eksplorasi bandaraya pintar Hangzhou. Bandaraya ini dikenali sebagai "Bandaraya Tanpa Tunai" dan kebanyakkan aktiviti hanyalaha menggunakan aplikasi Alipay atau Wechat Pay baik dari segi pembayaran semasa menaiki bas, tren, teksi penyewaan basikal dan pembayaran di kedai-kedai.
Pengalaman yang beliau dapati di bumi Hangzhou ini adalah sangat berharga dan antara intipati yang akan dipraktikkan adalah bersedia menerima perubahan dan menggunakan platform e-commerce untuk memajukan perniagaan dengan lebih cepat. Selain itu juga beliau menasihati usahawan untuk mendalami dan membudayakan visi, misi dan nilai-nilai dalam membentuk syarikat yang berjaya.
Sekian.
Mohd. Hafidz Rohani
Pengarah Utusan